PELAJAR KKTM MASJID TANAH PENUNTUT KESELURUHAN TERBAIK KURSUS ASAS PERAJURIT MUDA (SUKARELA) SIRI 1/2020

 

Melaka, 4 Ogos - Perajurit Muda (PM) Muhammad Hazeem bin Salim, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Masjid Tanah telah dinobatkan sebagai Penuntut Keseluruhan Terbaik dalam kursus Asas Perajurit Muda (Sukarela)  Siri 1/2020 anjuran Rejimen 514 Askar Wataniah, Kem Bukit Beruang, Melaka.  Penyampaian telah disempurnakan oleh  Brigedier Jeneral Datuk Yusof bin Hj Jantan, Komander Rejimen 514 Askar Wataniah.

 

Wakil tunggal KKTM Masjid Tanah itu  merupakan pelajar semester 4, Diploma Teknologi Kejuruteraan Pemprosesan Polimer Komposit  telah menyertai program tersebut bersama  50 orang peserta lain daripada beberapa IPT dan orang awam sekitar negeri Melaka.

 

Kursus  Asas Perajurit Muda (Sukarela) Siri 1/2020 berlangsung selama sebulan, bermula  6 Julai hingga 4 Ogos 2020.  Peserta  didedahkan dengan  ilmu asas ketenteraan seperti adat resam ketenteraan, pemerintahan regimental, latihan jasmani, latihan kawad kaki dan kawad senjata (Colt M16 dan M4), membaca peta, ilmu medan perang, taktik, kemahiran menembak dan beberapa kemahiran lain  bagi membentuk individu menjadi seorang anggota tentera yang terlatih.

 

Kejayaan ini  amat  membanggakan KKTM Masjid Tanah kerana beliau adalah satu-satunya wakil institusi tersebut setelah penyertaan anggota AW dalam kursus ini dihadkan kepada 50 orang sahaja bagi mematuhi keperluan SOP sedia ada.

 

Adalah diharapkan kejayaan ini akan menaikkan semangat kira-kira 30 orang lagi anggota Askar Wataniah KKTM Masjid Tanah yang akan menyertai kursus Asas Perajurit Muda (Sukarela) Siri 2/2020 yang dijangka berlangsung pada 1-30 September 2020 ini.

 

 

HUBUNGI KAMI

Bahagian Kemahiran & Teknikal MARA, Tingkat 21, Ibu Pejabat MARA 21, Jalan MARA 50609 Kuala Lumpur

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2020 BAHAGIAN KEMAHIRAN & TEKNIKAL MARA

Search