ANUGERAH KECEMERLANGAN DAN APRESIASI SISWA KKTM LEDANG RAI 121 PELAJAR

Pengarah KKTM Ledang menyampaikan Anugerah Tokoh Pelajar kepada saudari Hanun Hamizah binti Zakria.

TANGKAK, 16 Oktober – 121 pelajar diraikan di Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Apresiasi Siswa KKTM Ledang yang dianjurkan bersekali dengan ‘BICeP 2018 Gala Dinner’.

Bertemakan “Glamz & Glitz”, majlis ini bertujuan mengeratkan silaturrahim di samping penghargaan kepada pelajar semester akhir yang baru menamatkan sesi Latihan Industri dan memperoleh keputusan akademik yang cemerlang pada semester sebelumnya.

Menurut Pengarah KKTM Ledang, Fazli Rizal Ismail, setiap pelajar perlu berfikiran terbuka dan mempamerkan kecemerlangan diri khususnya nilai murni dan sikap positif dalam meneruskan fasa berikutnya sama ada memilih untuk melanjutkan pelajaran, bekerja, mahu pun menceburkan diri dalam dunia perniagaan.

 

Warga KKTM Ledang bergambar bersama selepas majlis.

“Kecemerlangan akademik semata-mata tidak menjamin kejayaan dalam kerjaya dan perlulah diseimbangkan dengan kemahiran insaniah, nilai agama dan ko-kurikulum”, ujarnya.

Kemuncak majlis adalah penyampaian sijil penghargaan dan anugerah kecemerlangan kepada 118 pelajar yang memperoleh Purata Nilai Gred (GPA) 3.50 hingga 3.99, serta 3 pelajar yang mendapat GPA 4.0.
Anugerah-anugerah lain termasuklah anugerah kecemerlangan sukan, khidmat masyarakat, kemahiran & inovasi, dan anugerah keusahawanan.

Anugerah Tokoh Pelajar KKTM Ledang telah berjaya disandang oleh Cik Hanun Hamizah dari program Radiologi & Pengimejan atas kecemerlangan dalam akademik dengan mendapat GPA 4.0 pada setiap semester serta turut aktif dalam akitiviti kokurikulum di peringkat kolej, kebangsaan dan antarabangsa.

Penerima Anugerah Keusahawanan pula dinobatkan kepada Muhammad Danial Zulkifli yang berjaya merekodkan jualan terkumpul mencecah RM200 ribu.

Kejayaan dan kecemerlangan pelajar-pelajar ini pastinya memberi motivasi dan inspirasi kepada pelajar-pelajar KKTM Ledang lain untuk terus berusaha melakar pencapaian cemerlang di semua bidang yang diceburi dan menaikkan nama MARA ke persada dunia.

Read 135 times

HUBUNGI KAMI

Bahagian Kemahiran & Teknikal MARA, Tingkat 21, Ibu Pejabat MARA 21, Jalan MARA 50609 Kuala Lumpur

MOBILE APPS

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2018 BAHAGIAN KEMAHIRAN & TEKNIKAL MARA

Search