IKM BINTULU, MSIEA BEKERJASAMA DALAM BIDANG DANDANG, PEMBAKARAN WAP ENJIN

TERMETERAI: Dr Mohd Nawawi (tiga kiri) dan Salahuddin (tiga kanan) menunjukkan dokumen LOI yang ditandatangani.

BINTULU: Institut Kemahiran MARA (IKM) Bintulu bekerjasama dengan Malaysian Steam and Internal Combustion Engine Engineer Association (MSIEA)  bagi memartabatkan pengamal dan Orang Yang Kompeten (OYK) dalam bidang dandang dan pembakaran wap dalaman enjin.

Kerjasama itu dimeterai pada Majlis Menandatangani Letter of Intent (LOI) antara kedua-dua pihak di sini kelmarin.

Setiausaha Kehormat MSIEA Muhammad Salahuddin Abdul Majid berkata kerjasama itu amat baik memberi ruang kepada kedua-dua pihak memperkembang informasi serta teknologi berkaitan untuk menjadikan lepasan IKM terutama IKM Bintulu pekerja cekap.

“Ia juga memantapkan kebolehpasaran pelajar memasuki industri penting seperti minyak dan gas, loji jana kuasa dan sebagainya,” katanya pada Majlis Menandatangani LOI yang disaksikan lebih 50 peserta mewakili pelbagai industri.

Majlis itu turut dihadiri pensyarah institusi pengajian tinggi (IPT) dan wakil badan penguat kuasa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Bintulu.

Pada masa sama, MSIEA turut menjemput beberapa pensyarah IKM Bintulu mengikuti kursus tiga hari pada program tersebut.

Dalam pada itu, Pengarah IKM Bintulu Dr Mohd Nawawi Omar berkata IKM mengoptimumkan kerjasama dalam bantuan khidmat nasihat berkaitan penambahbaikan silibus serta peralatan  sedia ada di institut itu.

Katanya, usaha itu dikembangkan dengan jalinan kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mendapat akreditasi JKKP bagi melaksanakan kursus kompetensi bidang berkaitan.

“Seperti Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), Majlis Amanah Rakyat (MARA) ada perbezaan dengan institusi latihan kemahiran lain.

“Pelajar bergraduat daripada Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) atau IKM ada sijil profesional tambahan diterima daripada sijil dan diploma dikeluarkan oleh MARA,” jelasnya.

Beliau yakin IKM Bintulu mampu menjadi penanda aras kepada IKM lain melahirkan lepasan kompeten bagi memenuhi pasaran kerja mahir negara.

Pensyarah Jabatan Operasi Loji IKM Bintulu Michael Jangi menyifatkan kerjasama itu rahmat kepada pelajar di bawah jabatan beliau mampu meningkatkan pengetahuan secara teori mahupun amali melalui perkongsian pengalaman sebenar daripada tenaga pengajar mahir.

Read 29 times

HUBUNGI KAMI

Bahagian Kemahiran & Teknikal MARA, Tingkat 21, Ibu Pejabat MARA 21, Jalan MARA 50609 Kuala Lumpur

MOBILE APPS

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2018 BAHAGIAN KEMAHIRAN & TEKNIKAL MARA

Search